Terkini

COVID-19: Sebahagian kaunter Balai Polis Sentul ditutup - Ketua Polis Negara


Sebahagian kaunter aduan di Balai Polis Sentul di Kuala Lumpur ditutup atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setelah dikunjungi seorang individu ingkar arahan kuarantin COVID-19, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Beliau berkata walaupun sebahagian kaunter aduan ditutup namun operasi balai berjalan seperti biasa.

“Kejadian berlaku apabila seorang individu bergelang tangan merah jambu hadir ke balai terlibat untuk membuat aduan dirinya diganggu orang awam.
Anggota yang bertugas kemudian mendapati individu berkenaan mempunyai simptom batuk sebelum ia dilaporkan kepada pihak hospital,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media Operasi Bersepadu Khazanah di Paya Indah Wetlands, di sini hari ini.


Abdul Hamid berkata perkara berkenaan kemudian dimaklumkan kepada pihak KKM dan kementerian itu meminta kawasan yang dikunjungi mangsa ditutup bagi operasi sanitasi.
“Maklumat lanjut pihak KKM akan umum pada petang ini,” katanya ringkas
 Hari ini, tular di media sosial satu notis dikeluarkan Ketua Balai Polis Sentul memaklumkan Balai Polis Sentul ditutup sementara bertarikh hari ini selepas diarahkan pihak KKM melalui Hospital Kuala Lumpur.
loading...


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul ACP S Shamugamoorthy Chinniah dalam kenyataan berkata tindakan sanitasi sekitar balai berkenaan telah dibuat manakala petugas tidak dibenarkan keluar dari lokasi sehingga dimaklumkan HKL.
“Balai Polis Sentul akan beroperasi seperti biasa selepas selesai proses sanitasi kedua,” katanya.
-- BERNAMA

No comments