Terkini

Dalam Perjalanan Dari Sentul Ke Bukit Keteri, Seorang Wanita Ditahan Bawa Tiga Lelaki Warga Bangladesh Tanpa Dokumen Sah


Seorang wanita tempatan dan tiga lelaki warga Bangladesh yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Napoh, Changlun dekat Jitra, semalam.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Ismail Ibrahim berkata, polis sebelum itu menahan kenderaan jenis Toyota Vios yang dipandu wanita berumur 33 tahun itu, dan tiga lelaki berkenaan yang berusia antara 30 hingga 36 tahun di tempat duduk penumpang, pada pukul 5.10 petang.


“Siasatan awal mendapati wanita itu adalah pemandu teksi persendirian atau prebet sapu, dan ketika ditahan mereka dipercayai dalam perjalanan dari Sentul, Kuala Lumpur menuju ke Keteri, Perlis.
“Wanita tersebut sebelum itu telah dihubungi oleh seorang lelaki Bangladesh yang dikenalinya dan memintanya menghantar tiga lelaki berkenaan ke lokasi itu dengan bayaran RM450 seorang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Mohd Ismail berkata, wanita tersebut yang dikatakan belum menerima bayaran itu bertolak dari Sentul bersama tiga lelaki berkenaan pada pukul 10 pagi, semalam.
Katanya, siasatan lanjut mendapati tiga lelaki itu yang memiliki kad permit kerja disyaki palsu sudah berada di negara ini hampir tiga tahun, dan pernah bekerja sebagai buruh binaan dan di kilang perabot di sekitar Kuala Lumpur.
“Tujuan mereka ke Perlis adalah untuk mencari pekerjaan baharu,” katanya.
loading...
Katanya, wanita tersebut yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau direman 28 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 26A, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
“Tiga pendatang asing itu pula ditahan reman selama 14 hari dan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
-- BERNAMA

No comments