Terkini

Isteri, Anak Abdul Azeez Pegang Jawatan Pengarah, Pemegang Saham - Saksi


Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa isteri dan anak-anak bekas pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim merupakan pemegang saham dan pengarah dalam empat syarikat yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Muhamad Akmaludin Abdullah, 37, berkata beliau telah menerima sepucuk surat dari ibu pejabat SPRM yang memohon untuk mendapatkan maklumat empat syarikat pada 10 Ogos 2018.
Muhamad Akmaludin berkata maklumat itu diperlukan pihak SPRM bagi membantu siasatan kes pada 2018.
Empat syarikat tersebut ialah Menuju Asas Sdn Bhd., Azman Azeez Properties (M) Sdn Bhd., Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd dan Azeera Properties (M) Sdn Bhd. 


Saksi itu berkata pencarian maklumat bagi kesemua syarikat itu menunjukkan bahawa Abdul Azeez dan isterinya Khadijah Mohd Noor adalah pemegang saham dalam keempat-empat syarikat tersebut.


Saksi pendakwaan kedua itu menambah carian maklumat juga menunjukkan bahawa anak-anak pasangan itu, Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwa dan Khaleeda Azeera, turut memegang jawatan dalam keempat-empat syarikat itu.
“Syarikat Azman Azeez Properties Sdn Bhd ditubuhkan pada 11 Mei 2006, jenis perniagaannya adalah pembangunan hartanah dengan modal terbitan RM1.9 juta. 


“Pengarahnya adalah Mohamad Khairul Azman manakala pemegang sahamnya adalah Abdul Azeez sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya pada hari pertama perbicaraan kes Abdul Azeez, 53, yang didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta.
Abangnya, Datuk Abdul Latif, 62, menghadapi dua pertuduhan bersubahat dalam perbuatan Abdul Azeez.
Sementara itu, bagi syarikat Azeera Management Consultants, Muhamad Akmaludin berkata pengarahnya adalah Mohamad Khairul Anwar dan Mohd Khairul Azman.
“Syarikat tersebut menjalankan perniagaan jenis perundingan pengurusan dan perdagangan am. Abdul Azeez dan Khadijah merupakan pemegang saham syarikat,” katanya.
loading...
Dua saksi lain iaitu pengurus jualan syarikat Zagma Sdn Bhd, Yap Boon Seong, 63 dan Ketua Bahagian Perundangan YAPEIM, Adawiah Sahmad, 40, juga telah selesai memberi keterangan masing-masing pada hari ini.
Abdul Azeez diwakili peguam M. Athimulan dan Hisyam Teh Poh Teik manakala Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos bertindak bagi pihak Abdul Latif.
Ahli Parlimen Baling itu menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta.
Pertuduhan rasuah itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini pada 8 Dis, 2010, dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di Petaling, Selangor pada 13 Jun, 2017 dan 10 April, 2018.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac, 2010 dan 30 Ogos, 2018. 
Pertuduhan rasuah itu adalah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, manakala pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Abangnya Abdul Latif, 62, dituduh bersubahat dengan Abdul Azeez, yang didakwa menerima RM4 juta daripada Mohammad Redzuan sebagai upah untuk membantu syarikat Menuju Asas Sdn Bhd mendapatkan projek jalan raya secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.
Projek itu melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru,  kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak) bernilai RM644,480,000.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor antara 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM 2009.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 7 Sept depan.
-- BERNAMA

No comments