Terkini

Kluster Sivagangga mungkin dari virus ‘super-spreader’, kata Noor Hisham


Kementerian Kesihatan (KKM) bimbang kluster Sivagangga yang bermula di Kedah ada kaitan dengan genom Covid-19, yang dikenal pasti sebagai perebak utama (super spreader) di Mesir dan Pakistan.
Ketua Pengarahnya, Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu sidang media hari ini bahawa pihaknya mendapati kluster tersebut - yang dikesan oleh KKM daripada pemilik sebuah kedai nasi kandar di Jitra - tersebar "sangat cepat" berbanding kluster lain di negara ini.


"Yang kita lihat sekarang kluster ini merebak dengan cepat dibandingkan sembilan kluster di Sarawak dan sebagainya.
"Kajian sedang dijalankan sama ada kita sedang menghadapi satu kluster iaitu genome 614, iaitu kluster super spreader.
"Super spreader ini telah dimaklumkan kepada kementerian iaitu dari Mesir dan juga Pakistan.
"Besar kemungkinan ini mungkin adalah kluster super spreader," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Noor Hisham merujuk kepada mutasi D614G, yang dipercayai oleh pakar kesihatan seluruh dunia sebagai strain Covid-19 yang lebih mudah merebak berbanding yang lain.


Perebak utama atau super spreader adalah istilah yang merujuk kepada strain Covid-19 yang mempunyai kadar jangkitan lebih tinggi dan digunakan untuk merujuk pesakit positif yang menyebarkan penyakit itu kepada sebilangan besar individu lain.
loading...
Untuk rekod, kluster Sivagangga dikesan akhir bulan lalu apabila pemilik restoran terbabit diuji positif Covid-19.
Lelaki itu pulang dari India pada 13 Julai dan sepatutnya berada dalam kuarantin di rumah tetapi dilaporkan gagal mematuhi arahan berkenaan.
KKM melaporkan kluster tersebut setakat ini mencatatkan 30 kes positif Covid-19, termasuk kanak-kanak.
Menurut Noor Hisham, kementerian akan mengambil sampel Covid-19 dari pesakit yang terkait dengan kkuster tersebut, dan mengkaji urutan genomik virus berkenaan.
Semasa sidang media hari ini, Noor Hisham berkata kes indeks kluster Sivagangga merupakan contoh bagaimana seseorang individu boleh menyebarkan virus  berkenaan kepada ramai yang lain akibat gagal mematuhi garis panduan pihak berkuasa kesihatan.
Beliau menyamakan kluster ini dengan apa yang terjadi di Victoria, Australia, apabila individu yang pulang dari luar negara menjangkiti sebilangan besar rakyat di negara itu.
Sementara itu, Dr Noor Hisham menjelaskan bahawa penggunaan termometer harus dilakukan dengan cara yang betul.
Mengulas dakwaan yang tular baru-baru ini bahawa termometer tanpa sentuhan boleh membahayakan apabila digunakan di dahi, beliau menegaskan tiada kajian saintifik membuktikan kesan sampingan tersebut. 
Beliau berkata penggunan termometer yang salah seperti pada bahagian badan yang lain, boleh menyebabkan hasil baca suhu badan tidak tepat.
Mengenai perkara lain, Noor Hisham berkata kementerian bekerjasama dengan badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan lain untuk menyediakan pelitup muka yang boleh digunakan semula oleh pelajar sekolah.
Sumber: Malaysiakini

No comments