Terkini

Lindungi Premis Tanpa Lesen: Tiga Penguatkuasa MBSA Ditahan Terima Rasuah RM300 Sehingga RM3,500 Secara Bulanan


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pegawai penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), kerana disyaki menerima rasuah sebanyak RM300 sehingga RM3,500 secara bulanan, bagi melindungi premis perniagaan yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen di sekitar daerah itu.
Tiga suspek berkenaan berusia antara 41 tahun hingga 49 tahun ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya, selepas mereka dipanggil untuk memberi keterangan pada 9 pagi tadi.
Sumber berkata mereka yang ditahan terdiri daripada dua pegawai penguatkuasa dari MBSA Cawangan Sungai Buloh dan seorang daripada MBSA Shah Alam.
“Selain itu, SPRM turut menahan peniaga rokok seludup berbangsa Aceh seperti yang diceritakan dalam video itu, kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan dan akan diserahkan kepada pihak Imigresen bagi tindakan lanjut.


“Peniaga berkenaan telah beroperasi sejak 2019 dan dia dikatakan membayar wang rasuah sebanyak RM300 sebulan kepada penguatkuasa, bagi mengelakkan sebarang tindakan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Pada Ahad, tular dua klip video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut, yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi, serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.
Susulan pendedahan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan mendapat kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, bagi menyiasat dakwaan itu.


Sumber itu berkata, hasil siasatan awal SPRM mendapati penguatkuasa yang ditahan dipercayai menerima rasuah antara ratusan hingga ribuan ringgit sebulan, bagi sebuah premis perniagaan. 
“Ini termasuklah premis-premis yang menjalankan perniagaan kedai makan tanpa lesen, penjualan rokok, gerai-gerai yang menjalankan perniagaan di tempat yang tidak dibenarkan dan premis perjudian,” katanya.
Sumber juga mendedahkan, terdapat pihak berkuasa berperanan sebagai pengkhianat dengan membocorkan maklumat berhubung operasi-operasi, yang akan dilaksanakan. 
loading...


“Ini menyebabkan setiap operasi yang dijalankan gagal dan telah diketahui awal oleh peniaga-peniaga haram ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi Bernama, mengesahkan kesemua tangkapan berkenaan.
“SPRM percaya kutipan rasuah ini dibuat secara berperingkat dalam kalangan anggota penguatkuasa.
“Saya menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut berhubung aktiviti rasuah dalam kalangan penguatkuasa, tampil memberikan kerjasama,” katanya.
Ahmad Khusairi berkata identiti dan maklumat pemberi maklumat akan dilindungi sepenuhnya.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009, manakala kesemua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi esok, bagi permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah,” katanya.
-- BERNAMA

No comments