Terkini

Marah minta cerai, pensyarah dijerut dengan tudung oleh suami sendiri


Seorang sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan berusia 41 tahun ditahan reman sehingga 6 Ogos bagi membantu siasatan polis selepas dipercayai menjerut leher isterinya sehingga mati dengan tudung yang dipakai mangsa dalam sebuah kenderaan di Putra Perdana, Dengkil pada petang Rabu, dua hari sebelum sambutan Aidiladha.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata setelah mendapati mangsa, seorang pensyarah universiti awam berusia 40 tahun, sudah tidak bernyawa, suspek dipercayai memandu Perodua Myvi terlibat menghala ke Tasik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor di Pinggiran Cyberjaya dan meletakkan mayat mangsa di tempat pemandu sebelum meninggalkan kenderaan itu dengan enjin dihidupkan.

"Selepas itu, suspek pulang ke rumah dan keluar bersama anak perempuannya berusia 14 tahun dengan perkhidmatan e-hailing kononnya untuk mencari mangsa yang didakwa tidak pulang ke rumah sejak 4 petang hari yang sama. Suspek mendakwa beliau bersama pemandu perkhidmatan e-hailing menemui kenderaan mangsa selepas tengah malam  dan menghubungi polis setelah mendapati mangsa tidak bergerak.
"Bedah siasat yang dijalankan pada 30 Julai mendapati punca kematian ialah akibat dijerut dan suspek ditangkap di pekarangan Hospital Serdang pada 12.30 tengah hari tarikh yang sama," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek mengaku membunuh isterinya kerana mangsa berkeras untuk bercerai selepas mereka mendirikan rumah tangga pada 2005 dan dikurniakan seorang anak perempuan.
"Suspek turut menunjukkan tempat barangan si mati dibuang dan mengaku merosakkan telefon milik si mati sebelum membuangnya," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh. 
loading...




-- BERNAMA

No comments