Terkini

Najib mahu Mohd Hazem dijadikan pengarah eksekutif 1MDB, Mahkamah diberitahu


Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan supaya Mohd Hazem Abdul Rahman dilantik sebagai pengarah eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2012.


Nama Mohd Hazem muncul buat pertama kali dalam perbicaraan kes rasuah 1MDB membabitkan RM2.3 bilion yang dihadapi Najib semasa peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed memeriksa balas saksi pendakwaan kesembilan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif  (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Shahrol Azral berkata beliau pertama kali menerima biodata atau curriculum vitae (CV) Mohd Hazem menerusi ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low pada 2012.
“Jho Low memberitahu saya Mohd Hazem dicadangkan oleh bekas setiausaha peribadi utama Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias. Najib secara peribadi menulis satu nota yang dikepilkan pada CV itu menyatakan 'Hazem akan dilantik sebagai pengarah eksekutif 1MDB'. 


“Saya ingin menjelaskan bahawa tiada pengarah eksekutif dalam 1MDB pada ketika itu dan saya mencadangkan (Mohd Hazem) dilantik sebagai ketua pegawai operasi (COO). Apabila beliau dilantik sebagai COO, saya akan pertanggungjawabkan beliau untuk memantau bahagian hartanah 1MDB,” kata saksi berusia 50 tahun itu.
Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa Artikel 117 Memorandum dan Artikel Pertubuhan 1MDB menetapkan bahawa perkara tertentu termasuk pelaburan, penstrukturan semula dan kuasa untuk pengambilan dan pemecatan pekerja perlu mendapat kelulusan Najib selaku perdana menteri.
Kepada soalan lain diajukan Wan Aizuddin, Shahrol Azral, bagaimanapun  tidak dapat mengesahkan jika lembaga pengarah meluluskan pelantikan Mohd Hazem tetapi terdapat surat berhubung perkara itu daripada Najib.
loading...


Apabila  pada 2013 Shahrol Azral ditukarkan ke Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), yang kini tidak lagi wujud, jawatannya sebagai CEO dan pengarah urusan 1MDB diisi oleh Mohd Hazem.
Pada 2015, Mohd Hazem meletak jawatan sebagai CEO 1MDB dan beliau digantikan oleh Arul Kanda Kandasamy.
Wan Aizuddin: Saya cadangkan kepada anda, Jho Low  telah mencadangkan pelantikan Mohd Hazem bagi tujuan meneruskan rancangan jahat untuk menggelapkan wang 1MDB.
Shahrol Azral: Tidak setuju. 
Wan Aizuddin: Mohd Hazem dilantik untuk menggantikan anda sebagai CEO sebagai cara untuk menggantikan seorang (kepada seorang yang lain) untuk diarah oleh Jho Low untuk buat apa yang disuruhnya.
Shahrol Azral: Saya tidak mahu komen tentang perkara itu.
Saksi itu juga menafikan yang beliau tahu tentang nama International Petroleum Investment Company's (IPIC) dikeluarkan dalam draf akhir Surat Izin (LOC) kepada Kementerian Kewangan untuk memperoleh dana bagi usaha sama (JV) 1MDB-Aabar BVI Ltd.
Wan Aizuddin: Saya cadangkan kepada anda, sebaik sahaja nama IPIC dikeluarkan daripada LOC, ia tidak akan dipertanggungjawabkan sekiranya JV itu gagal?
Shahrol Azral: Setuju.
Wan Aizuddin: Saya cadangkan kepada anda, pembatalan pembabitan IPIC sengaja dilakukan dalam rancangan jahat ini antara Goldman Sachs (penasihat kewangan 1MDB), Jho Low dan rakan kongsinya, yang anda sebenarnya tahu, bertujuan untuk mengelirukan kerajaan Malaysia dan lembaga pengarah 1MDB.
Shahrol Azral: Saya tidak tahu, saya tidak setuju.
Wan Aizuddin: Saya cadangkan kepada anda, Mohd Hazem dan personaliti lain dalam 1MDB juga terbabit dalam rancangan jahat itu.
Shahrol Azral: Saya tidak setuju kerana pada waktu itu saya tidak tahu tentang sebarang penglibatan. Malah bila difikirkan, saya tidak boleh komen berhubung perkara itu kerana saya tidak tahu fakta sepenuhnya.
Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang membabitkan jumlah wang yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 17 Ogos.
-- BERNAMA

No comments