Pegawai Polis Maut Kemalangan Dalam Perjalanan Ke Tempat Kerja
Seorang pegawai polis maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja setelah motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah lagi motosikal di Jalan Padang Katong dekat sini malam tadi.
Mangsa, Inspektor Khairil Muzzammir Abdullah Sani, 34, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Wad Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
Kemalangan dua motosikal itu turut membabitkan lelaki berusia 18 tahun dan ibunya, 43.
Kedua-dua mereka mengalami kecederaan pada siku dan lutut.
Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 malam itu, mangsa yang dalam perjalanan ke tempat kerja dari arah Jalan Raja Muda ke Bintong, bertembung dengan motosikal dinaiki dua beranak terbabit yang keluar dari persimpangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra.
loading...
"Akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa terseret sejauh 25 meter sebelum melanggar tiang," katanya ketika dihubungi hari ini.
"Penunggang motosikal tersebut kini direman hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian," katanya.
-- BERNAMA
No comments