Terkini

Peniaga Didenda RM2,000 Miliki 361 Kg Karkas Lembu Yang Disembelih Tanpa Lesen


Kuala Lumpur: Seorang peniaga didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini, kerana memiliki 361 kilogram (kg) karkas lembu yang disembelih di rumah penyembelihan yang tidak dilesenkan Oktober tahun lalu.
Majistret Nik Mohd Fadil Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Azzamuddin Ishak, 46, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.


Mahkamah turut memerintahkan OKS menjalani hukuman penjara sebulan, sekiranya dia gagal membayar denda tersebut. Dia membayar denda.
Azzamuddin didakwa memiliki karkas lembu yang tidak disembelih di rumah penyembelihan yang diluluskan atau dilesenkan dengan melanggar peruntukan di bawah Kaedah 5(3), Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 Akta Binatang 1953.
Dia dituduh  melakukan kesalahan itu di sebuah bangsal penyembelihan di Kampung Ternak Ayam, Sungai Bakau, Rawang di sini pada 5.30 pagi, 13 Okt 2019 mengikut Kaedah 2(a), (b), Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) ( Pindaan) 2018 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000.
Pegawai Pendakwa dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (JPVNS) Mohammad Firdaus Mat Ludin memohon hukuman denda maksimum sebagai pengajaran kepada OKS dan orang lain supaya tidak melakukan kesalahan sama.
Azzamuddin yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum kerana dia baru sahaja memulakan perniagaan itu dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
Mengikut fakta kes, jabatan itu telah membuat pemeriksaan di bangsal tersebut dan hasil siasatan mendapati karkas lembu yang dimiliki OKS tiada tanda selar/ stamping jabatan itu dan disyaki tidak disembelih di rumah sembelih yang diluluskan atau dilesenkan oleh JPVNS.

loading...
Berikutan itu, karkas lembu seberat 361kg bersama tujuh bilah pisau, dua bilah parang, dua bilah pengasah, satu unit alat timbang dan cap karkas di sebuah rumah sembelih di Rawang telah diambil dari OKS. 
- Bernama

No comments