Terkini

PH pertimbang jika Tun Mahathir minta gabung


Pakatan Harapan (PH) akan mempertimbangkan sekiranya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta untuk menyertai gabungan parti tersebut.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, buat masa ini, bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu belum lagi menyuarakan hasrat untuk bergabung dan menjadi sebahagian daripada anggota PH.


“Setakat ini, beliau belum meminta untuk bergabung. Biarlah dia minta dahulu.
“Jika beliau minta, kita akan mempertimbangkan perkara tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis Jelajah Presiden ke Selangor di sini semalam.
Terdahulu, Dr. Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharu yang akan mendokong dasar Bersatu.
loading...
Ketika mengumumkan penubuhan parti itu, Dr. Mahathir menjelaskan bukan niatnya untuk menubuhkan banyak parti politik Melayu tetapi penubuhannya adalah atas semangat Melayu dan akan bersifat inklusif dan moderat, berpegang pada janji, ikhlas dan berprinsip.
Mengulas mengenai tindakan Dr. Mahathir menubuhkan parti baharu, Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson enggan mengulas lanjut dan mengatakan itu adalah hak Dr. Mahathir.
“Dr. Mahathir baru umum penubuhan parti baharu, kita tengok dahulu. Itu hak dan keputusannya, saya tidak perlu ulas,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

No comments