Terkini

Polis selesai rakam keterangan Ramesh Rao


Polis telah merakamkan keterangan Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia Ramesh Rao di Bukit Aman hari ini, berhubung ciapan kontroversi dalam akaun Twitternya minggu lepas.
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan bahawa polis selesai merakam keterangan Ramesh kira-kira pukul 12.10 tengah hari tadi.


Ramesh dilaporkan tiba seorang diri pada 10.10 pagi, bagaimanapun beliau keluar dari Bukit Aman tanpa disedari media yang menunggu di luar ibu pejabat polis itu.
Ramesh dipanggil ke Bukit Aman bagi membantu siasatan terhadap ciapan yang dibuatnya pada 28 Julai lepas mendakwa bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabitkan Najib Razak dengan tujuh kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, adalah cucu saudara Dr Mahathir Mohamad.
Media melaporkan ahli Bersatu Mohd Afzanizam Abdul Rashid membuat laporan polis di Taiping, Perak pada 30 Julai lepas berhubung ciapan berkenaan.
loading...
Susulan itu, anak Dr Mahathir, Mukhriz Mahathir menerusi akaun Twitternya menyangkal dakwaan yang disifatkan sebagai tidak berasas dan menggesa pihak berkuasa menyiasat perkara itu.
Mior Faridalathrash berkata kes itu sedang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Bernama

No comments