Terkini

Raja Muda Perlis Dedikasikan Kayuhan Kemerdekaan Kepada Wira Negara


Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan kayuhan basikal di Pulau Pinang sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-63 tahun 2020.


Kayuhan itu, yang merupakan inisiatif baginda sendiri pada hari ini, didedikasikan kepada para petugas barisan hadapan sebagai wira negara dalam menjaga negara dengan baik hingga kini.


"Jasa pahlawan dan wira negara amatlah bernilai dan tidak terbalas oleh kita semua. Negara kita aman dan selamat sekarang adalah kerana hasil kerja keras pemimpin-pemimpin terdahulu dan juga wira-wira negara yang bersengkang kudrat dan tenaga dalam memastikan rakyat terus selesa dalam membentuk negara harmoni," titah baginda di sini hari ini.
Baginda turut mengingatkan rakyat Malaysia agar terus bertanggungjawab menjaga diri dan sesama sendiri ketika dunia sedang mendepani pandemik COVID-19. 


"Maka semangat patriotisme yang tinggi mestilah disemai sepenuhnya dalam jiwa raga setiap rakyat Malaysia untuk kita sama-sama berasa lebih sayang pada negara kita," titah baginda. 
Sejak 2014, Tuanku Syed Faizuddin Putra akan berkayuh di sekitar selatan Thailand dan mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang kayuhan itu bagi menunjukkan semangat patriotisme dengan diiringi Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri serta pihak swasta di Perlis.
Bagaimanapun, susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan sempadan negara yang masih ditutup, baginda berkenan memilih Pulau Pinang pada tahun ini untuk menyemarakkan lagi semangat Hari Kemerdekaan.


Kayuhan sejauh 18 kilometer yang disertai kira-kira 120 orang itu bermula dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Padang Kota dan berakhir di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.
Jalur Gemilang turut dikibarkan sepanjang kayuhan itu.
Baginda turut berkenan menyempurnakan simbolik penanaman pokok ‘Sea Hibiscus’ di GSD Cycling Park, Queensbay sebagai kenang-kenangan.


Tuanku Syed Faizuddin Putra dan delegasi turut melawat Perkampungan Cina di Jeti Lee dan Pulau Jerejak serta beramah mesra dengan penduduk sekitar.
loading...
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Datuk Bandar MBPP Datuk Yew Tung Seang dan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan.
Kayuhan itu turut disertai Penasihat Undang-Undang Negeri Mohd Radhi Abas, Pegawai Kewangan Negeri Nasaruddin Abdul Muttallib, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Panglima Markas Briged Ke-30 Infantri Brigidier Jeneral Hassan Embong, Ketua Polis Negeri Datuk Surina Saad dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis Profesor Dr Badlishah Ahmad. 
-- BERNAMA

No comments