Terkini

Saidi biaya perbelanjaan umrah Rizal sekeluarga selepas didesak Rizal - Saksi

Foto: Hari Anggara/Malay Mail

Seorang saksi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin telah membiayai perbelanjaan Umrah Datuk Rizal Mansor dan keluarganya selepas didesak bekas pembantu Datin Seri Rosmah Mansor itu.


Rayyan Radzwill Abdullah, 41, rakan perniagaan kepada Saidi berkata Rizal bertindak mendesak beliau untuk meminta wang daripada Saidi, namun saksi ke-16 pihak pendakwaan itu tidak pasti berapa jumlahnya.


“Yang saya tahu masa dia (Rizal) nak pergi buat umrah bersama keluarganya dia minta Saidi untuk bayar (perbelanjaan mengerjakan umrah) dan Saidi ada bayar cuma saya tidak pasti jumlah,” katanya ketika pemeriksaan balas peguam Datuk Akberdin Abdul Kader pada perbicaraan kes Rosmah berhubung projek solar hibrid bagi 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak.
Isteri bekas perdana menteri itu berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta, daripada Saidi menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).


Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.
Rayyan Radzwill menyentuh mengenai tindakan Saidi membiayai perbelanjaan Rizal mengerjakan umrah ketika ditanya Akberdin sama ada beliau bersetuju bahawa Rizal telah dibayar RM50,000 sebanyak tujuh kali antara 2016 dan 2017, sebagai habuan daripada Jepak Holdings kerana membantu mendapatkan projek solar tersebut.
Saksi itu yang juga pengarah Syarikat Nanocarb Technology Sdn Bhd turut bersetuju dengan Akberdin bahawa beliau pernah menasihati Saidi beberapa kali supaya berhati-hati dengan Rizal yang kerap menggunakan nama Rosmah dan meminta duit.
loading...


Akberdin: Setuju, sebelum dan selepas Saidi maklumkan awak tentang isu RM5 juta pada 20 Dis 2016, Rizal juga pernah minta duit iaitu RM25 juta (sebelum) dan RM500,000 (selepas).
Rayyan Radzwill: Ya betul.
Akberdin: Setuju, awak pernah nasihat Saidi awak syak Rizal jual nama Rosmah untuk minta duit daripada Saidi.
Rayyan Radzwill: Saya tidak syak jual nama, saya rasa dia (Rizal) ada ambil (wang) untuk dirinya dan minta (duit) untuk dirinya.
“Setuju atau tidak keraguan ini wujud sebab awak tidak yakin Rizal hantar RM5 juta kepada Rosmah sebaliknya dia yang ambil sendiri untuk dirinya,” kata Akberdin dan Rayyan Radzwill menjawab “benar”.
Dalam keterangannya sebelum ini, Rayyan Radzwill berkata pada Disember 2016, Saidi memberitahunya bahawa beliau telah menyerahkan wang tunai RM5 juta kepada Rosmah melalui Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Surat Setuju Terima (SST) daripada KPM bagi projek solar itu.
Saksi itu juga berkata pada hari sama (Disember 2016) Saidi telah mengajak beliau ke rumah Rizal di Segambut dan di sana Saidi telah menyerahkan satu beg kertas mengandungi wang tunai RM500,000 kepada bekas pembantu Rosmah itu sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek tersebut.
Rayyan Radzwill dalam pada itu turut ditanya Akberdin mengenai kegagalan bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, serta dua bekas Ketua Setiausaha KPM, Tan Sri Madinah Mohamad dan Datuk Seri Alias Ahmad mengambil tindakan terhadap Jepak Holdings yang telah meminda serta memalsukan dokumen-dokumen berkaitan kontrak projek solar tersebut.
Akberdin: Setuju atau tidak Datuk Seri Mahdzir, Tan Sri Madinah dan Datuk Seri Alias telah gagal menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai pegawai kerajaan  dalam mengendalikan projek solar ini kerana telah bersekongkol dan melindungi Jepak Holdings dalam perbuatannya.
Rayyan Radzwill: Sekongkol saya tidak tahu, melindungi ya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.
-- BERNAMA

No comments