Terkini

Shafee: 'Banyak sarang ular tedung, 1MDB diurus sekumpulan orang bodoh'


Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak melaksanakan semakan sebelum menyertai usaha sama (JV) bernilai AS$6 juta dengan sebuah syarikat yang dikatakan mempunyai kaitan dengan dana kekayaan berdaulat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC).
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim berkata tiada semakan dibuat terhadap Aabar BVI Ltd (Aabar BVI) yang diterima oleh Lembaga Pengarah 1MDB sebagai subsidiari IPIC.


Aabar Investment PJS merupakan subsidiari sebenar IPIC sementara Aabar BVI adalah syarikat yang diperbadankan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Lo serta rakan sekutunya di British Virgin Islands dan dibubarkan pada Jun 2015.
Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata bagaimanapun beliau tidak mengambil tindakan sendiri untuk mengesahkan sama ada dua “Aabar” itu adalah satu syarikat yang sama dan hanya menerima kata-kata Jho Low.
Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam utama pembelaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan kes rasuah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.
Muhammad Shafee: … tetapi anda akan menyertai JV bernilai US$6 juta dengan syarikat ini?
Shahrol Azral: Pada ketika itu, kami (Lembaga Pengarah 1MDB) tidak mempunyai sebab untuk meraguinya. Jika dilihat kembali, saya setuju adalah sepatutnya berbuat demikian.
Muhammad Shafee: Anda bersetuju dengan saya, pasukan (penasihat kewangan) Goldman Sachs yang diketuai oleh Tim Leissner sepatutnya melaksanakan semakan ke atas kedua-dua Aabar?
Shahrol Azral: Jika ada yang tidak kena, kami jangkakan Goldman Sachs, selaku penasihat kewangan berbayar, akan beritahu kami.
Tak semak sebab percaya Jho Low
Tahun lepas, pihak berkuasa Amerika Syarikat melarang Leissner daripada terbabit dalam industri sekuriti apabila dia mengaku bersalah terhadap dakwaan konspirasi rasuah dan pengubahan wang berkaitan 1MDB serta dijadualkan dijatuhi hukuman di mahkamah persekutuan di Brooklyn, New York tidak lama lagi.
Sementara itu, saksi tersebut juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa memandangkan 1MDB tidak melakukan semakan kerana percaya akan kata-kata Jho Low, mereka menjangka tindakan tersebut akan diambil oleh Goldman Sachs.
loading...
Disoal lanjut oleh Muhammad Shafee, Shahrol Azral berkata beliau tidak terkejut apabila IPIC menafikan sebarang kaitan dengan Aabar BVI pada 2016.
“Saya mendengar pendedahan mengenai 1MDB daripada media pada 2015. Jangan salah faham, tetapi dari segi emosi, saya terpempan selepas mendengar laporan bagaimana mereka (1MDB) membelanjakan wang itu … justeru, saya tidak terperanjat dan hanya serahkan kepada pegawai penyiasat,” katanya.
Muhammad Shafee kemudian membangkitkan perincian seperti perbezaan kepala surat dan tandatangan pada dokumen yang diserahkan oleh Aabar BVI kepada 1MDB, Shahrol Azral menjawab, baik beliau mahupun pengurusan 1MDB tidak perasan akan hal tersebut ketika itu.
Muhammad Shafee: Jadi, tiada sesiapa pun dalam pengurusan 1MDB membangkitkan isu ini (perbezaan tersebut) kepada anda?
Shahrol Azral: Tidak ada.
Muhammad Shafee: (Jika) Seluruh pasukan pengurusan 1MDB tidak nampak perbezaan-perbezaan itu, anda tidak boleh menyangka perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu (Najib) akan perasan?
Shahrol Azral: Tiada komen.
Untuk rekod, dilaporkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara melaporkan 1MDB telah membayar RM4.24 bilion kepada Aabar BVI pada 2012 sebagai deposit sekuriti.
Sepanjang prosiding hari ini, Muhammad Shafee yang merujuk Aabar Investment PJS sebagai “big Aabar" (Aabar besar) dan Aabar BVI sebagai “small Aabar” (Aabar kecil), berkata pengurusan 1MDB sekali lagi terjatuh ke dalam “cobra pits” (sarang ular tedung).
Muhammad Shafee: Anda perasan yang kita bergerak melalui banyak sarang ular tedung … 1MDB ini pastinya diuruskan oleh sekumpulan orang bodoh yang sanggup meredah sarang-sarang ular ini.
Shahrol Azral: Saya tidak mahu ulas mengenai perkara itu.
Selepas rehat tengah hari, seorang lagi peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed mengemukakan kepada saksi minit mesyuarat pemegang saham yang ditandatangani Najib sebagai wakil Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MoF Inc) yang disertakan lampiran terma dan syarat berkaitan penjualan tanah membabitkan pembangunan Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (kini dikenali TRX) di antara Aabar BVI dan 1MDB.
Shahrol Azral berkata beliau tidak tahu jika Najib melihat minit itu bersama-sama lampiran dan beliau juga tidak bertindak memaklumkan kepada Najib sebelum melaksanakan arahan dokumen berkenaan.
Wan Aizuddin: Adakah anda tahu sama ada ini (minit mesyuarat pemegang saham bersama lampiran) ditunjukkan kepada Najib?
Shahrol Azral: Saya tidak tahu.
Wan Aizuddin: Melihatkan pada kandungannya, adakah anda bersetuju, berdasarkan pada muka depan dokumen, tanggapannya ialah usaha sama itu adalah di antara 1MDB dan Aabar yang sebenar?
Shahrol Azral: Ya.
Wan Aizuddin: Bagi yang tidak arif, apabila anda melihat 1MDB dan Aabar Investments PJS Limited (Aabar BVI), seseorang yang tidak dimaklumkan mengenai keganjilan yang ada, akan menerimanya sebagai yang sebenar?
Shahrol Azral: Ya.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang membabitkan jumlah wang yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.
- Bernama

No comments