Terkini

SPRM, JIPS siasat dakwaan pihak berkuasa lindungi premis haram


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan ada pihak berkuasa melindungi premis haram, perjudian tanpa lesen dan penjualan rokok seludup di sekitar Sungai Buloh, Selangor.


Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya berkata pihaknya memandang serius isu yang tular dalam dua klip video mendakwa pihak berkuasa gagal memantau, menguatkuasakan undang-undang selain dikatakan menerima rasuah daripada pihak terlibat.

“Saya telah menghubungi Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, (Zamri Yahya) hari ini.
loading...

“Beliau (Zamri) memaklumkan pihak JIPS akan mengambil tindakan tegas (jika ada kes) dalam isu berkaitan premis perjudian termasuk mana-mana pegawai yang melindungi kegiatan perjudian tersebut kerana kesalahan ini di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya kepada Bernama hari ini.

Ahmad Khusairi berkata JIPS akan bekerjasama menyalurkan maklumat kepada SPRM jika ada pegawai atau anggota polis yang terlibat dikenal pasti.

“SPRM akan memberikan tumpuan kepada pegawai atau anggota penguat kuasa dalam kesalahan menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di sekitar Sungai Buloh,” katanya.

Beliau juga meminta masyarakat terus menyalurkan maklumat kepada SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Selain itu, saya meminta masyarakat agar tidak menghebahkan sesuatu isu dalam media sosial kerana ia tidak akan membantu sebarang proses siasatan malahan memberi peluang kepada pihak-pihak terlibat menghapuskan bukti atau keterangan yang ada,” katanya.

Sebelum ini, tular satu video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Asri Janggut mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Semalam, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar menafikan dakwaan tiada tindakan diambil terhadap premis perjudian di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh.

Berdasarkan statistik sehingga Julai tahun ini, polis melakukan 40 serbuan dan 132 tangkapan bagi kes perjudian di sekitar kawasan berkenaan.
- Bernama

No comments